" Aurat Sempurna "
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
~JOM BERKENALAN DENGAN AURAT~
-Aurat Menurut Bahasa-
Perkataan aurat dalam bahasa melayu berasal daripada perkataan arab iaitu ‘عورات’.
Dari segi bahasa, ia mempunyai banyak pengertian. Antaranya bermaksud kemaluan ‘al-Sau’at’ (سوات ).
Ibn Athir berkata, pengertian asal bagi perkataan al-Sau’at ialah kemaluan wanita (al-Farj). Kemudian ia membawa erti, apa sahaja perkara yang memalukan sama ada dalam bentuk kata-kata atau perbuatan.
Al-Laith pula berkata, ia bererti kemaluan lelaki atau perempuan. Kerana itu dalam al-Quran disebut,
فبدت لهما سواتهما
Bermaksud “lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing.”
Ayat ini merujuk kepada kemaluan Adam dan Hawa. Menurut al-Laith lagi, berasaskan pengertian itu, al-Sau’ah ini digunakan bagi memberi erti apa sahaja perbuatan atau perkara yang memalukan.
Kata Abdul Kadir al-Razi, sehubungan dengan pengertian diatas, perkataan al-Aurat juga digunakan bagi erti apa sahaja yang manusia berasa malu untuk diperlihatkan pada orang lain. (tapi zaman sekarang sifat malu telah hilang dan ramai yang menunjukkan ‘kemaluan’ mereka kepada orang ramai).
Antara pengertian lain bagi perkataan aurat ialah sesuatu yang perlu ditutup, sesuatu perkara yang aib dan hodoh, tempat-tempat kelemahan yang mungkin disusupi oleh musuh dan seumpama dengannya.
Rumusan dari penerangan diatas, aurat dalam segi bahasa arab mempunyai dua pengertian.
Pertama : pengertian khusus iaitu kemaluan (as-Sau’ah) dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Kedua : pengertian umum iaitu termasuk juga apa sahaja yang dilihat sebagai tidak menyenangkan untuk dilihat untuk diketahui orang.
Firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31,
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
-Aurat Menurut Istilah-
Aurat menurut syara’ ialah bahagian tubuh sama ada lelaki atau perempuan yang diharamkan oleh syara’ untuk dilihat oleh orang tertentu.
Berdasarkan pengertian ini, ada bahagian-bahagian tubuh sama ada lelaki ataupun perempuan yang sudah cukup umur (baligh) tidak boleh dilihat oleh orang yang bukan mahram secara umumnya. Jika dilihat, hukumnya haram iaitu boleh membawa kepada dosa. Namun, jika sesama mahram ataupun sesama jantina, ada batas aurat yang khusus mengenainya, yang mana akan diterangkan pada tajuk yang akan datang. insyaAllah.
Secara zahirnya, Allah menyuruh hambaNya menutup aurat adalah kerana mahu menjaga kemuliaan manusia. Tidak menjaga adab-adab ketika bersama manusia lain akan membawa kepada keburukan akhlak, tersebarnya fitnah dan membawa kerosakan kepada masyarakat.
Kenapa ia dinamakan sebagai aurat? Ini kerana apabila seseorang itu mendedahkannya, dia dianggap melakukan perkara keji lagi mengaibkan. Justeru, aurat berkait rapat dengan perkataan buruk dan keji. Oleh sebab itu, aurat perlu dijaga daripada terdedah kepada orang lain.
Ia juga dinamakan aurat kerana apabila ia dibuka, akan bermulalah bibit fitnah dan pintu kerosakan, firman Allah s.w.t dalam surah an-Nur ayat 31, “…atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan..”
Membuka aurat akan mendatangkan fitnah apabila ia dilihat oleh orang yang sudah mengerti tentangnya. Maka, kanak-kanak yang masih tidak mengerti tentang aurat tidak akan mendatangkan fitnah.
Banarlah apa yang dikatakan Allah. Ini kerana, apabila lelaki dewasa melihat aurat perempuan, ia akan mula menaikkan syahwat lelaki tersebut, tambahan pula kebanyakkan orang lelaki amat pandai berimaginasi apabila melihat sesuatu perkara. Ini adalah fitrah manusia, ia tidak perlu diajar dan belajar. Apabila sampai sahaja had umur, ia akan mengerti tentang aurat.
Justeru, apabila aurat diperlihatkan dengan sengaja, ia akan menimbulkan syahwat. Rentetan daripada itulah wujudnya kes-kes jenayah yang berlaku hari ini seperti gangguan seksual, rogol, zina dan masalah sosial yang melampau. Dimana keadaan ini boleh merosakan masyarakat yang madani.
Kata al-Asfahani, “aurat adalah keburukan insan dan demikian itu hanyalah kiasan. Kerana aurat apabila tidak dijaga, ia akan menimbulkan keburukan.”
Wallahuaklam......
Mohon maaf dan teguran diatas kekurangan dan kesilapan.
Ikhlas & Rahmat Allah bersama kita.
Kongsikan dan sebarkan..sesungguhnya ianya ILMU ALLAH TAALA..
Dipanjangkan oleh :
al-Haqir al-Faqir ilallahi Taala
Comments
Post a Comment