HUKUM LELAKI MELIHAT PEREMPUAN AJNABI


RAHSIA AURAT SEMPURNA
20 Nov 2014/27 Muhrm 1436
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

Hukum secara umumnya, majoriti ulamak mengharamkan daripada melihat seluruh badan perempuan ajnabi jika ia boleh menimbulkan syahwat. Ini kerana, melihat dengan rasa syahwat adalah penyebab kepada berlakunya zina. Oleh itu, jalan menuju kepada yang haram hukumnya haram. Namun, apabila seseorang itu memandang perempuan tanpa ada rasa syahwat, para ulamak berselisih 
pendapat tentangnya
Pertama :
Memandang perempuan muda atau remaja perempuan ajnabi. Majoriti ulamak mengatakan bahawa memandang seluruh badan perempuan ajnabi adalah haram. Namun hukum ini dikecualikan kepada sesetengah anggota iaitu wajah, tapak tangan, kaki dan lengan.
Melihat wajah wanita ajnabi dibenarkan jika pandangan itu tidak menimbulkan syahwat. Ini kerana pandangan majoriti para ulamak iaitu ulama Hanafiyah, Malikiah dan Hanabilah. Jumhur berpandangan boleh melihatwajah perempuan tetapi dengan syarat tidak menimbulkan syahwat. Jika sebaliknya, hukumnya haram.
Firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31, “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
Ayat ini menjelaskan bahawa, orang perempuan boleh menzahirkan apa yang biasa dilihat oleh manusia dan amat sukar untuk menutupnya. Diriwayatkan juga oleh Imam at-Tobari dalam sanad yang sahih, bahawa maksud perhiasan pada ayat si atas ialah merujuk kepada wajah dan kedua tapak tangan. Maka dalam hal ini, wajah dan tapak tangan boleh dilihat oleh lelaki ketika melakukan beberapa urusan penting seperti mengajar, bekerja, membeli belah, mesyuarat, membuat penyaksian dan sebagainya. Syartanya hendaklah ada keperluan penting.
Ini kerana, ada lelaki yang mengambil kesempatan untuk melihat wajah wanita tanpa keperluan dan boleh menimbulkan fitnah. Ianya semata-mata untuk kepuasan diri sendiri sahaja. Disebabakan itulah lelaki yang melihat mereka tanpa syarta, boleh menimbulkan fitnah. Maka dalam hal ini, para ulamak berpendapat boleh melihat kaum perempuan, tetapi dengan syarat dibenarkan syarak.
Kedua :
Daripada Aisyah, ketika Asma’ binti Abu Bakar masuk bertemu rasulullah dalam keadaan memakai baju lembut dan halus, beliau ditegur oleh Nabi dengan katanya, “Ya asma’, sesungguhnya perempuan yang sudah baligh tidak elok mendedahkan tubuhnya melainkan ini dan ini, sambil mengisyaratkan kepala dan tapak tangan.” (HR Abu Daud)
Hadis ini menjelaskan bahawa wajah dan tapak tangan bukanlah aurat dan tidak mengapa untuk dilihat atau diperlihatkan jika ada urusan penting.
Ketiga :
“telah datang seorang perempuan kepada Nabi s.a.w, maka Nabi melihat wajahnya, dan tidaklah Nabi berkeinginan kepadanya.” (HR Abu Daud)
Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi melihat orang perempuan, namun tidak ada rasa berkehendak atau bersyahwat kepadanya. Jadi ini adalah dalil boleh melihat wajah mereka dengan syarat tidak menimbulkan syahwat.
Keempat :
Daripada Ibn Abbas, katanya al-Fadhal (bin Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah s.a.w (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah s.a.w). datang seorang wanita dari khasy’am untuk meminta fatwa daripada Nabi. Lalu al-Fadhal memandangnya dan dia adalah perempuan yang cantik. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fudhal ke arah lain.” (HR an-Nasai).
Ketika peristiwa Nabi mengalihkan padangan Ibnu Abbas, dia mempersoalkan kepada baginda bahawa dia melihat perkara halal. Namun baginda menjawab pandangan lelaki muda atau remaja dengan wanita muda atau remaja, tidak selamat daripada fitnah. Ini kerana apabila saja-saja melihat atau memandang tanpa urusan, fikiran dan hati akan merewang, maka pada saat itu syaitan akan mengambil kesempatan.
Melihat tapak tangan perempuan,
Berdasarkan dalil-dalil yang telah dibahaskan, tapak tangan boleh dilihat jika ada sebab tertentu. Ini kerana, tangan adalah anggota penting untuk melakukan pekerjaan seharian. Jadi, atas urusan jual beli, mengajar, bekerja dan sebagainya, ia dibolehkan.
Melihat kaki sehingga buku lali dan lengan,
Kaki adalah anggot penting untuk seseorang melakukan aktiviti dan pekerjaan seharian. Oleh itu, para ulamak telah mengeluarkan pendapat yang selari dengan keringanan ini iaitu apabila seorang perempuan melakukan beberapa aktiviti, dia boleh mendedahkan kakinya.
Samalah juga halnya apabila tetamu atau saudara mara datang ke rumah, ia akan menyukarkan golongan perempuan untuk bergerak jika sentiasa memakai stokin. Demikian juga bagi perempuan yang bekerja di luar rumah, seperti di kantin, mencuci dan sebagainya, dia boleh menzahirkan kaki untuk keperluan tersebut. Namun, harus dipastikan bahawa pekerjaan tersebut haruslah benar-benar menghalang seseorang itu daripada memakai stokin. Jika tidak, hukumnya akan kembali kepada asal iaitu wajib melindungi kaki daripada terdedah.
Pendapat yang meringankan masalah ini ialah daripada ulama muktabar, seperti ulama Hanafiah, Syeikh Taqiuddin, Imam al-Muzani iaitu orang kanan kepada Imam Syafie, Suffian at-Thauri. Antara dalil yang digunakan oleh para ulama yang berpendapat sedemikian ialah ; kias kepada boleh menampakkan wajah dan tapak tangan, kerana ia sukar untuk disembunyikan seperti anggita-anggota yang lain. Wajah dan tapak tangan penting digunakan dalam aktiviti seharian. Begitu juga dengan kaki, ia juga sentiasa digunakan untuk melakukan aktiviti penting.
Manakala ulama yang membolehkan lengan wanita dinampakkan, tetapi dengan syarat sewaktu melakukan pekerjaan sahaja ialah Syeikh Abu Yusof iaitu guru kepada Imam Syafie. 
Wallahuaklam......
Mohon maaf dan teguran diatas kekurangan dan kesilapan.
Ikhlas & Rahmat Allah bersama kita.
Kongsikan dan sebarkan..sesungguhnya ianya ILMU ALLAH TAALA..
Dipanjangkan oleh :
al-Haqir al-Faqir ilallahi Taala
-UmaR Zunnun-

Comments

Popular posts from this blog

AURAT LELAKI DAN PEREMPUAN KETIKA SOLAT

MENUNDUKKAN PANDANGAN